Pages

Wednesday, 13 March 2013

#PrayForSabah : [TERKINI] Anggota Keselamatan Telah Selamat Disemadikan




PASIR MAS - Jenazah dua wira negara Kpl Ahmad Hurairah Ismail dan Kpl Ahmad Farhan Ruslan yang gugur dalam Operasi Daulat menentang militan dari Sulu semalam, selamat dikebumi di kampung halaman masing-masing.

Jenazah Ahmad Hurairah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lalang, tidak jauh dari rumah keluarganya di sini, manakala Ahmad Farhan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Madrasah Pohon Celagi, Pasir Hor di Kota Baharu.

Upacara pengebumian kedua-dua wira negara itu diadakan penuh istiadat ketenteraan dan turut dihadiri anggota dan pegawai tinggi tentera.

Jenazah Ahmad Hurairah dan Ahmad Farhan tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa dengan pesawat Charlie C-130 pada pukul 9.50 pagi, dan dibawa ke kampung halaman masing-masing dengan van jenazah.

Terdahulu jenazah kedua-dua wira negara itu tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang sejurus sebelum 8 pagi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi antara yang menyambut ketibaan kedua-dua jenazah dan memberi penghormatan terakhir kepada wira negara itu.

Ahmad Hurairah, 24, terkorban dalam pertempuran dengan kumpulan militan di Sungai Nyamuk, Kampung Tanjung Batu di Lahad Datu, Sabah semalam manakala Ahmad Farhan, 21, terbunuh dalam kemalangan di Jalan Tungku, Lahad Datu semasa dalam konvoi untuk Operasi Daulat.

Jenazah Ahmad Hurairah tiba di rumah keluarganya di Kampung Bayu Lalang di sini untuk disembahyangkan pada pukul 11.15 pagi.

Antara yang turut sembahyang jenazah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub.

Suasana agak hiba seketika apabila Zulkifli menyerahkan sumbangan daripada pelbagai pihak kepada bapa Allahyarham, Ismail Hussin, 54, sebaik selesai majlis pengebumian itu.

Di KOTA BAHARU, jenazah Ahmad Farhan dibawa ke rumah keluarganya di Taman Desa Darulnaim II, di Pasir Tumboh di sini dan disemadikan pada pukul 12 tengah hari.

Antara yang hadir pada pengebumian wira negara itu ialah Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan pegawai-pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia.

Abdul Latiff kemudian menyerahkan bendera Malaysia yang membaluti keranda kepada bapa Allahyarham.

Ruslan ketika ditemui di tanah perkuburan itu berkata beliau amat berterima kasih di atas penghargaan pasukan tentera apabila memberi  penghormatan terakhir yang begitu tinggi terhadap anaknya.
"Saya reda dengan pemergian anak saya yang memang berminat mewarisi jejak saya untuk menjadi askar sejak kecil lagi," kata bekas tentera itu yang
menamatkan perkhidmatan terakhirnya di Kem Terendak, Melaka pada 2004. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Share

Blog Archive

PING BUSUK !

Ping Je

Labels