Pages

Thursday, 20 June 2013

Selepas #TragediMelali, Sekarang #Blackout505 Pula Dianggap Mati Syahid



Kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa yang menyifatkan mana-mana peserta yang terkorban ketika menyertai perhimpunan Blackout 505 Sabtu ini sebagai mati syahid merupakan fatwa songsang yang tidak sah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, hal ini kerana mati syahid merupakan jihad mulia demi mempertahankan Islam, maka tidak layak untuk disama erti dengan perjuangan terdesak pakatan pembangkang.

Paling mengejutkan, tegasnya, ganjaran syahid yang dilaungkan Husam itu sama sekali tidak akan diperoleh mana-mana peserta kerana sudah jelas perhimpunan tersebut tiada kena-mengena dalam usaha membela kebenaran mahupun mempertahankan hak untuk menegakkan agama Allah.

"Andai kata ada yang terkorban, amatlah pasti jihad itu tidak akan diterima Allah, bahkan langsung tidak dikategorikan sebagai syahid fisabilillah, sebaliknya peserta bakal berdepan kematian yang sia-sia atau mati katak.

"Malah, sekiranya ada dalam kalangan peserta berniat untuk membunuh pihak lawan terutama pasukan polis, tindakan golongan itu boleh dijatuh hukum sebagai berdosa besar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Husam seperti dilaporkan dalam Harakahdaily Ahad lalu berkata, peserta yang terkorban ketika menyertai perhimpunan terakhir Blackout 505 di Padang Merbok di sini dianggap sebagai mati syahid.

Bagaimanapun kenyataan Husam itu bertentangan dengan pandangan Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din yang mahu ahli parti mematuhi pendirian serta nasihat Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa tiada paksaan untuk mereka menyertai perhimpunan Blackout 505.

Ismail Mina berkata, kewujudan kelompok-kelompok berimejkan Islam tetapi berfikiran Khawarij seperti Husam tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana retorik agama yang menjadi mainan mereka amat berbahaya dalam masyarakat hari ini.

Jelasnya, pihak berkuasa perlu memandang serius perkara tersebut termasuk mengenakan tindakan tegas ke atas Husam terhadap kenyataannya itu.

Sementara itu, bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaie Ahmad mengingatkan generasi muda agar tidak sesekali terpengaruh dengan fatwa ganjaran mati syahid oleh individu yang tidak berkredibiliti.

"Pembangkang mendakwa mahu menentang penipuan dan kezaliman dalam keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu, bagaimanapun saya melihat tuduhan mereka itu tidak berasas kerana gagal mengemukakan sebarang bukti.

"Rakyat perlu melihat dan menilai secara waras kerana untuk apa mengorbankan nyawa dalam jihad yang tidak bermatlamatkan Islam," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Share

Blog Archive

PING BUSUK !

Ping Je

Labels