Pages

Friday, 13 September 2013

#TF4MT : Akar Umbi Adalah Kunci #TransformasiUMNO @tunfaisal @Zahid_Hamidi


Perwakilan di peringkat cawangan dan bahagian perlu bijak dalam membuat pilihan mereka kerana ia akan menentukan kestabilan parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Exco Pemuda Umno, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, tindakan mereka di peringkat akar umbi akan menentukan kekuatan serta perubahan tonggak kepimpinan Umno dalam menghadapi pelbagai cabaran yang sedang dilalui.

"Di peringkat bahagian, di peringkat cawangan, orang yang ada kuasa mengundi ini mereka boleh memilih orang yang bawa perubahan, yang amanah dan sebagainya.

"Cuma mereka kena buat pilihan sama ada pilihan mereka menaikkan seseorang pemimpin itu adalah kerana parti dan perjuangan agama bangsa dan negara, ataupun kerana pemimpin itu boleh memberi pulangan dari segi material, sumbangan dan sebagainya.

"Maksudnya mereka kena bezakan, di peringkat cawangan sekalipun, adakah pemimpin yang mereka pilih beri nilai tambah kepada parti atau sebenarnya mereka pilih calon ini kerana kepentingan mereka sendiri,"katanya ketika dihubungi Antarapos.

Beliau diminta mengulas gesaan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang meminta perwakilan parti menolak pemimpin “warlords” atau “demang politik” yang membolot wang, kuasa serta bertelagah sesama sendiri pada pemilihan Umno Oktober depan.

Zahid dalam akhbar New Straits Times hari ini berkata, golongan demang politik berkenaan adalah duri dalam daging kepada perjuangan parti serta menjadi penghalang kepada usaha Umno untuk memperkukuhkan diri.

Tun Faisal yang bersetuju dengan pandangan Zahid berkata, perubahan dalam Umno hanya boleh dilakukan di peringkat akar umbi.

Sementara itu, Ketua Bahagian Umno Kuala Selangor, Datuk Amiruddin Setro berkata, adalah menjadi tanggungjawab setiap pemimpin parti itu untuk mengutamakan perjuangan parti berbanding kepentingan peribadi.

Katanya lagi, pemimpin yang mengutamakan jawatan dan kuasa memang seharusnya ditolak kerana akan memberikan implikasi yang buruk kepada parti seterusnya menjejaskan usaha parti untuk mencapai kemenangan dalam PRU-14.

"Kerana dikhuatiri ianya akan menjadi wabak yang akan memperlihatkan Umno terlalu sinonim dengan politik wang sedangkan realitinya kebelakangan ini pembersihan demi pembersihan dibuat yang mana boleh dikatakan hari ini imej Umno agak bersih dari segi imej politik wang.

"Jadi kalau ada elemen yang sebegini, sewajarnya perwakilan menolak pemimpin yang mempunyai pendekatan yang sedemikian,"katanya. - ANTARA POS

0 comments:

Post a Comment

Share

Blog Archive

PING BUSUK !

Ping Je

Labels